Sunday, November 10, 2013

Siti Aishah graduan ACCA ke 7 terbaik dunia

SHAH ALAM 8 Nov. - Siti Aisah Kamarulzaman, 21, bukan sahaja menjadi kebanggaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) apabila menjadi graduan Terbaik Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) Malaysia tahun ini tetapi juga mencatat sejarah sebagai yang ketujuh terbaik di dunia.

Kejayaan gadis itu meneruskan kejayaan abangnya, Khalid, 22, yang juga merupakan pelajar Terbaik ACCA Malaysia 2012.

Sebanyak 724 orang mengambil peperiksaan itu di negara ini Jun lalu dan 6,000 orang menduduki peperiksaan yang sama di seluruh dunia.

Siti Aisah berkata, resipi kejayaan beliau ialah belajar dengan tekun seperti yang sering dinasihatkan oleh bapanya, Kamarulzaman Udin dan ibunya, Sa'adah Rahmad.

''Ayah saya dahulu adalah peniaga pasar malam dan ibu pula seorang guru, saya diajar untuk belajar dengan tekun supaya berjaya dalam pelajaran," katanya kepada pemberita dalam majlis meraikan pencapaian beliau yang menerima anugerah Graduan Terbaik ACCA Malaysia oleh Fakulti Perakaunan UiTM di Dewan Canseleri di sini hari ini.

Potensi yang ada pada pelajar tersebut turut menarik perhatian firma perakaunan yang kelima terbesar dunia, Binder Dijker Otte (BDO) dari Amerika Syarikat (AS) yang juga menawarkan biasiswa kepadanya.

Menurut Siti Aisah, beliau juga ditawarkan pekerjaan sebagai Audit Associate di firma perakaunan tersebut di cawangannya di negara ini.

Sementara itu, Naib Canselor UiTM, Prof. Tan Sri Dr. Sahol Hamid Abu Bakar berkata, kejayaan Siti Aisah bukan sahaja menjadi kebanggaan UiTM malah rakyat negara ini.

''Siti Aisah juga telah menunjukkan prestasi yang begitu cemerlang semasa menduduki peperiksaan profesional Certified Accounting Technician (CAT) pada Jun 2011.

''Beliau juga merupakan pelajar yang aktif dan banyak melibatkan diri dalam pertandingan-pertandingan yang diadakan, contohnya, 'Deloitte Tax Challenge (Merit Award 2012) dan 'CIMA Global Business Challenge'," katanya.

Kata beliau, dalam usia masih muda, Siti Aisah berjaya melanjutkan pelajaran dalam bidang perakaunan profesional di Fakulti Perakaunan UiTM, satu-satunya institut pengajian tinggi awam yang mendapat status Platinum daripada ACCA.

''Kita semua harus berbangga dengan kejayaan cemerlang sebagai graduan terbaik yang dicapai oleh Siti Aisah," katanya.

No comments:

Post a Comment