Tuesday, February 4, 2014

hello Noh Omar! Debat kalimah Allah akan dianjurkan oleh SAMM. ada berani ka?




Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menyambut baik gesaan yang dibuat oleh YB Khalid Samad supaya debat mengenai penggunaan kalimah Allah diteruskan. Ia juga berikutan kesediaan Datuk Seri Noh Omar yang dilihat sangat kecewa apabila Wacana Sinar Harian bertajuk "Perdebatan Hujah Isu Kalimah Allah Dari Perspektif Perundangan" dibatalkan pada saat akhir.

Drama yang ditonjolkan oleh Noh Omar yang hadir ke venue debat di auditorium Karangkraf walaupun berita pembatalan telah dimaklum secara meluas, membuktikan betapa seriusnya hasrat Noh untuk 'bertemu' Khalid Samad. SAMM dengan ini sedia untuk merealisasikan hasrat tersebut dan percaya rakyat juga ingin melihat siapa yang bakal 'disekolahkan'.

Isu kalimah Allah ini amat penting untuk dibentangkan kepada umum khususnya demi memperlihatkan agama Islam sebagai sebuah agama yang sempurna, tidak menindas penganut agama minoriti. SAMM juga berpendapat debat antara Khalid dan Noh ini harus menjadi cetusan awal memecahkan 'taboo' pemikiran rakyat seandainya pihak yang lebih afdal membicarakan soal ini secara terbuka masih belum bersedia.

Rampasan kitab bible awal bulan lalu sebenarnya telah memberi impak yang besar di dalam dan luar negara, bagaimana Islam di Malaysia dipandang dari mata dunia selepas peristiwa rampasan tersebut. Apakah 'kekerasan' seperti ini berlaku atas sifat balas dendam? Maka harus ada penjelasan yang optimum dengan pilihan yang ada.

Justeru itu, SAMM akan menyediakan platform terbaik buat kedua-dua seteru politik ini saling berhujah. SAMM percaya Khalid Samad punya hujah untuk dipertahankan dan Noh Omar juga tidak akan melepaskan peluang untuk menjadi 'guru'. Sudah sampai masanya rakyat dimatangkan pemikiran dengan hujah yang bernas, bukan dengan cara menunjukkan kekuatan fizikal dan memomokkan orang lain. Ini zaman pakai otak, bukan pakai otot.

SAMM mencadangkan tarikh 10 Februari sebagai tarikh wacana debat dianjurkan dengan tajuk yang sama dan moderator yang sama seperti wacana Sinar Harian yang dibatalkan sebelum ini. Lokasi debat akan diberitahu dalam masa terdekat, tidak menolak kemungkinan akan berlangsung di Petaling Jaya.

Sekian,

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)


No comments:

Post a Comment