Sunday, March 2, 2014

Khalid Umum Tanding Timbalan Presiden PKR

SHAH ALAM 28 FEB: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan untuk bertanding sebagai Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan kepimpinan parti itu.

“Saya menawarkan diri untuk menerima tawaran saudara bertanding sebagai Timbalan Presiden PKR,” katanya yang segak bersongkok dan berbaju Melayu krim pada Majlis Kasih Bertaut yang disambut sorakan gamat penyokongnya.

Antara pimpinan yang hadir ialah Senator Syed Shahrir Syed Mohamud, Pakar Perlembagaan Prof Dr Abd Aziz Bari dan bekas pengerusi PKR Perak Mustaffa Kamil Ayub.

Penyandang jawatan itu ialah Mohamad Azmin Ali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa.

mb1BhkJcMKCEAE9mXKPemilihan pucuk pimpinan PKR diadakan pada 25 April hingga 11 Mei depan mengikut zon.

Pengundian dimulakan dengan Sarawak, Johor, Melaka, Kelantan, Terengganu dan Pahang pada 25 hingga 27 April depan, diikuti negeri Sabah, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis pada 2 hingga 4 Mei.

Pemilihan bagi Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan diadakan pada 9 hingga 11 Mei.

Hari penamaan calon bagi jawatan peringkat pusat ditetapkan pada 29 Mac manakala 4 April bagi peringkat cabang.

Barisan kepimpinan baharu parti itu akan diumumkan selewat-lewatnya pada 13 Mei depan.

PKR mempunyai 500,000 ahli berdaftar dan Selangor, Sabah, Sarawak, Pulau Pinang serta Kedah mencatat keahlian tertinggi.

Ketika ditemui pemberita selepas pengumuman berkenaan, Abdul Khalid berkata, beliau sudah mendapat restu untuk bertanding dari pimpinan tertinggi PKR.

“Mereka tiada halangan saya bertanding,” katanya.

Mengenai peluang kemenangan, beliau sambil tersenyum berkata: “Rakan-rakan mahukan kemenangan saya,” katanya.

Bagaimanapun, Abdul Khalid meminta penyokongnya memberi keutamaan kepada kemenangan Pilihan Raya Kecil (PRK) N25 Kajang berbanding pertandingan jawatan parti.

No comments:

Post a Comment