Follow blog ini

Tuesday, October 29, 2013

JPM terima bajet paling besar - Idris Jala

Jabatan Perdana Menteri menerima antara peruntukan terbesar bernilai RM16.45 bilion di bawah Bajet 2014 kerana Unit Perancang Ekonomi (EPU) menguasai kesemua perbelanjaan modal untuk perancangan pembangunan seluruh negara, kata menterinya Datuk Seri Idris Jala (gambar) hari ini.

Beliau berkata EPU ialah pertubuhan besar yang menyelaraskan semua program transformasi ekonomi melibatkan perbelanjaan modal untuk mengembangkan ekonomi negara.

"Saya gembira dengan peruntukan itu. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata belanjawan ini ialah mengenai memenuhi janji-janji yang tidak membebankan rakyat," kata beliau kepada pemberita selepas perasmian forum serantau Persatuan Pentadbiran Awam dan Pengurusan Komanwel (Capam) 2013 di Kuching.

Beliau berkata di bawah bajet itu, defisit fiskal akan terus dikurangkan bagi memastikan negara dapat mengukuhkan daya tahan ekonominya dan mempercepatkan program transformasi kerajaan.

Penurunan berperingkat disasarkan oleh Malaysia ialah daripada 4.5% keluaran dalam negara kasar tahun lepas kepada empat peratus tahun ini, 3.5% tahun depan dan 3% pada 2015, kata beliau.

Cukai barang dan perkhidmatan, apabila menjadi cukai penggantian pada April 2015, akan meluaskan asas percukaian tanpa membebankan rakyat kerana barangan asas seperti beras, ikan dan bawang tidak akan terjejas, kata beliau.

Terdahulu, beliau berkata petunjuk prestasi utama akan memastikan kerajaan dan kakitangan awam bertanggungjawab kepada orang awam di dalam pelaksanaan pelbagai program transformasi. – Bernama, 28 Oktober, 2013.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...