Follow blog ini

Monday, August 18, 2014

Usaha Bodek Dr Rani Gagal - PAS Setuju Khalid Ibrahim Digantikan


PAS hari ini memutuskan untuk kekal dalam Pakatan Rakyat (PR) dan bersetuju dengan pilihan PKR untuk melantik Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail diangkat menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor.

Parti Islam itu bagaimanapun turut menyerahkan nama Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali sebagai nama calon lain untuk diangkat menjadi menteri besar.

"PAS tidak akan menuntut jawatan menteri besar Selangor. PAS juga menghormati semangat yang ada dalam Pakatan Rakyat dalam mencadangkan nama calon menteri besar Selangor.

"Sehubungan dengan itu, PAS sebulat suara pada hari ini bersetuju untuk mengangkat dua nama bagi menggantikan Khalid. Nama yang dicadangkan oleh PAS ialah Dr Wan Azizah dan Azmin," kata Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu di Ibu Pejabat PAS hari ini.


Dua nama itu kemudiannya akan ditentukan dalam mesyuarat Pakatan Rakyat yang dijadualkan berlangsung petang ini.

Sebelum itu The Malaysian Insider melaporkan...

Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat yang dijangka panas hari ini berjalan dengan lancar serta harmoni dan berjaya diselesaikan dalam masa tidak sampai satu jam setengah.

Menurut seorang ahli mesyuarat itu, presiden PAS berjaya mengendalikan mesyuarat dengan baik dan keputusan dicapai dengan sebulat suara dan tamat jam 11.30 sekejap tadi.

"Alhamdulillah, mensyuarat berjalan dengan lancar dan keputusan dicapai sebulat suara. Presiden PAS mengendalikan mesyuarat dengan baik," kata seorang ahli mesyuarat ketika menghubungi The Malaysian Insider.

Katanya, keputusan mesyuarat akan diumumkan oleh presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu sidang media tidak lama lagi.

Mesyuarat yang paling ditunggu-tunggu tahun ini itu dijangka panas dengan pelbagai pihak membuat ramalan akan berlaku pertelagahan antara kumpulan di dalamnya.

Utusan Malaysia meramalkan akan berlaku pertelagahan antara kumpulan penyokong Majlis Syura Ulama dan kumpulan penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat ini.


Namun, perbincangan, surat panjang, pandangan awal, serta semangat mahu mempertahankan PAS dan Pakatan Rakyat menyelesaikan mesyuarat ini dengan cepat dan lancar.

Lebih 100 wartawan, jurugambar, petugas, pasukan penyokong berhimpun di perkarangan Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut hari ini bagi mengikuti mesyuarat ini.

Kumpulan Geng Ustaz yang menyokong pendirian Presiden PAS berhimpun dengan kertas pemidang, "We are members of PAS and we support our president," yang bermaksud "Kami ahli PAS menyokong presiden kami".

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...