Follow blog ini

Thursday, September 26, 2013

Ribuan laksana solat jenazah Ustaz Azizan

POKOK SENA: Ribuan rakyat hadir menunaikan solat jenazah mantan Menteri Besar Kedah, Ustaz Azizan Abdul Razak di Markaz PAS Pokok Sena, Jalan Langgar, dekat sini jam 4.15 petang tadi.

Solat jenazah dimamkan anak lelaki Allahyarham, Izzatul Islam Azizan manakala doa dibacakan ulama tempatan, Tuan Guru Haji Salleh Musa.

Jenazah kemudiannya dibawa ke Muassasah Darul Ulum, 17 km dari sini yang menempatkan kubur mantan Presiden PAS, Ustaz Dato' Fadzil Mohd Nor untuk dikebumikan dengan diiiringi ribuan kenderaan.


Kenderaan yang membawa jenazah Allahyarham sampai di pekarangan Muassasah Darul Ulum pada jam 4.55 petang disambut ribuan hadirin.Solat jenazah sekali lagi diadakan dengan diimamkan Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din.

Antara yang hadir memberikan penghormatan terakhir ialah Timbalan Mursyidul Am PAS, Dr Haron Din; mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad; Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir; Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, Iskandar Abdul Samad dan Ustaz Salehen Mukhyi; Pengarah Urusan Harakah, Datuk Kamaruddin Jafar; Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli dan mantan Menteri Besar, Tan Sri Mahdzir Khalid.

Ustaz Azizan kembali ke rahmatullah pada jam 11.10 pagi ini di Unit Kawalan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar di sisi ahli keluarganya dan pemimpin PAS Pusat dan negeri, antaranya Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

Sebelum ini, bekas Pesuruhjaya Pas Kedah itu dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas mendapat jangkitan kuman di kaki dan menerima rawatan di Kedah Medical Centre (KMC) pada awal Mei lalu.

Bagaimanapun kedua-dua belah kakinya terpaksa dipotong pada 9 Mei lalu di HPP akibat jangkitan kuman, dan kemudiannya dipindahkan ke HSB pada 14 Ogos lalu selepas tahap kesihatannya dilihat memuaskan walaupun masih ditempatkan di ICU.

Hujung bulan lalu, almarhum menunjukkan perkembangan positif apabila doktor mula menukar tiub pernafasan, selain mula bersuara biarpun masih perlahan, bagaimanapun ia mula merosot sejak jam 3.30 pagi, semalam.

Allahyarham meninggalkan dua isteri, Puan Sri Faikah Syeikh Hamzah dan Shamsiah Shafie dengan 14 anak. ~harakahdaily

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...