Pemuda PAS kawasan Batu Pahat sebulat suara bersetuju untuk mencalonkan Suhaizan Kaiat sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) dalam pemilihan parti itu yang akan berlangsung pada November ini.
Ketua pemuda PAS kawasan, Mohd Salleh Tamjis berkata keputusan itu dicapai dalam mesyuarat kepimpinan Dewan Pemuda PAS kawasan Batu Pahat bagi sesi ini yang telah dijalankan pada hujung September lalu.
“Kami sebulat suara mencalonkan beliau setelah menyenarai pendek beberapa nama tokoh pemimpin pemuda PAS yang lain.“Suhaizan yang juga Ketua Pemuda PAS Johor memiliki kewibawaan untuk membawa Pemuda PAS ke pentas nasional dalam memperjuangkan pelbagai isu yang timbul hari ini.
“Ini bukan cakap kosong kerana Suhaizan berjaya membawa beberapa isu besar di peringkat nasional sebelum ini dan mendapat perhatian rakyat Malaysia keseluruhannya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mohd Salleh berkata kemampuan Suhaizan mampu menggugat Umno dan Barisan Nasional setelah penglibatannya dalam bantahan Pengajaran dan Pembelajaran Sains Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada 2009 berjaya mengubah pendirian kerajaan terhadap polisi tersebut.
Katanya, Suhaizan juga memperjuangkan nasib penduduk kampung setinggan di Johor selain isu pengundi hantu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.
“Jika keadaan yang sama dapat diteruskan, pemuda Batu Pahat yakin DPPM akan mampu membina momentum yang besar menuju PRU14 yang akan datang,” katanya.
Pada pemilihan DPPM pada 2011, ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan menang tanpa bertanding jawatan Ketua Dewan Pemuda PAS apabila tidak menerima sebarang tentangan untuk jawatan tersebut.
Sementara itu, anak kepada Mursyidul Am PAS, Nik Abduh Nik Abdul Aziz diisytihar sebagai Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS apabila menewaskan tiga lagi pencabarnya dengan mendapat 260 undi.
Pada pemilihan tersebut, Suhaizan mendapat 107 undi tewas kepada Nik Abduh, selain penyandang jawatan tersebut yang mendapat undi paling sedikit iaitu 94 undi. ~tmi
No comments:
Post a Comment