Follow blog ini

Tuesday, November 26, 2013

Selangor tawar 15,251 rumah mampu milik berharga bawah 100 ribu


Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor mempunyai sejumlah 15,251 unit rumah mampu milik yang boleh ditawarkan sehingga tahun 2021, kata Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad.

Iskandar ketika sesi Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Shah Alam hari ini berkata, tiga projek perumahan mampu milik yang melibatkan 1,682 unit telah siap dibina oleh kerajaan negeri dan pemaju swasta.

"Manakala projek yang sedang dalam pembinaan adalah sebanyak tiga projek yang melibatkan 469 unit," katanya.

Menurut Iskandar, projek perumahan mampu milik yang telah siap dibina adalah terdiri daripada Bukit Botak, Selayang mempunyai 1,422 unit dengan harga jualan RM99,000 seunit berkeluasan 850 kaki persegi hingga 2,200 kaki persegi.

Manakala projek kedua adalah di Seksyen 3 Bandar Baru Bangi yang dibina sebanyak 124 unit berkeluasan di antara 700 hingga 800 kaki persegi dan dijual pada harga RM60,000 hingga RM90,000 seunit, dan baki 136 unit lagi terletak di Bandar Sungai Long, Kajang.

"LPHS telah menawarkan sebanyak 1,682 pembeli yang layak untuk membeli rumah mampu milik," katanya merujuk kepada Lembaga Perumahan hartanah Selangor, menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia Hasbullah Mohd Ridzuan.

Iskandar, yang juga Adun Cempaka berkata, projek rumah mampu milik yang masih boleh ditawarkan untuk pembeli adalah dianggarkan sebanyak 15,251 unit yang melibatkan 38 projek menjelang tahun 2021.

"LPHS hanya akan mula menawarkan kepada pembeli setelah sesuatu projek itu memperoleh Permit Iklan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

"Peratusan tawaran kepada rumah mampu milik yang telah siap adalah 100%," katanya.

Ketika sesi sidang DUN sebelum ini, Iskandar berkata 1,028 unit rumah mampu milik di bawah seliaan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menjelang 2014.

Lokasi rumah mampu milik berkenaan disasarkan kepada empat daerah lokasi dan bakal dibina pada 2014 iaitu di Gombak, Hulu Selangor, Klang dan Petaling.

“Di Gombak, sebanyak 418 unit pangsapuri di Kampung Seri Temenggung, 198 unit townhouse manakala di Hulu Selangor projek Antara Gapi sebanyak 80 pangsapuri, di Jalan Datuk Mat Sidin, Klang bakal dibina 210 unit pangsapuri manakala di Subang Bestari, Shah Alam dalam daerah Petaling sebanyak 122 unit pangsapuri.

“Bagi penggal 2015 hingga 2020 dirancang sebanyak 16,065 unit pangsapuri PKNS bakal dibina di daerah Gombak, Hulu Selangor, Petaling, Sepang dan Kuala Selangor,” katanya ketika menjawab pertanyaan lisan daripada Adun Semenyih, Datuk Johan Abdul Aziz ketika sidang DUN baru-baru ini.

Dalam perkembangan sama, Iskandar turut memaklumkan bahawa tanggung jawab membina rumah mampu milik ini juga diberikan kepada syarikat swasta iaitu sebanyak 944 unit pangsapuri menjadikan jumlah keseluruhan rumah kos rendah dibina pada 2015 hingga 2020 sebanyak 18,037 unit.

"Sebelum ini kerajaan negeri menetapkan polisi 20:10 dan terkini dalam Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) pada 13 November lalu untuk wajib buka tender kepada pemaju swasta untuk bina rumah mampu milik.

2 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...